Sejarah Kampung Baru

Terma Kampung Baru merujuk kepada kampung-kampung yang diwujudkan semasa darurat di mana ia merupakan satu strategi ketenteraan di bawah Rancangan Briggs (1948-1960) bagi mengatasi ancaman pengganas komunis pada ketika itu. Dalam tempoh tersebut, sebanyak 382 buah Kampung Baru telah diwujudkan manakala 48 buah kampung yang sedia ada telah diserap masuk ke dalam Rancangan ini.

Jumlah Kampung Baru ini telah berubah mengikut peredaran masa daripada 480 buah kampung yang direkodkan pada tahun 1954 kepada 450 buah kampung pada tahun 2005. Pada tahun 2009, sebanyak 113 Kampung Baru Rangkaian dan 44 buah Kampung Bagan telah dimasukkan ke dalam senarai Kampung Baru menjadikan jumlah Kampung Baru di Semenanjung Malaysia sebanyak 607 buah. Pada tahun 2015, senarai Kampung Baru telah dibuat pengemaskinian dan hasil semakan dan penyelarasan semula mendapati jumlah kampung adalah sebanyak 613 buah di mana 436 buah adalah Kampung Baru, 134 buah adalah Kampung Baru Rangkaian dan 43 buah adalah Kampung Bagan.

Kampung Baru merupakan penempatan manusia yang diwujudkan semasa zaman darurat untuk mengatasi ancaman komunis. Kampung Baru Rangkaian merupakan penempatan masyarakat Cina di pinggir atau di luar kawasan operasi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Kampung Bagan merupakan kampung nelayan yang kebanyakan penduduknya terdiri daripada masyarakat Cina di mana kehidupannya bergantung kepada tangkapan ikan di laut.