Program Skim Pinjaman Khas Penduduk Kampung Baru (PKBC)

Skim Pinjaman Khas Penduduk Kampung Baru Cina ataupun dikenali sebagai PKBC merupakan salah satu program dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) yang dilancarkan pada 21hb Julai 2011 untuk membantu penduduk Kampung Baru mendapatkan pinjaman mudah dengan kadar faedah yang rendah iaitu sebanyak 4% berasaskan baki bulanan (fixed monthly rest) dalam membayar bayaran premium tanah, membiayai aktiviti perniagaan mikro dan menaik taraf rumah.

Bahagian Kampung Baru, Jabatan Perdana Menteri (BKB, JPM) merupakan agensi kawal selia manakala Bank Simpanan Nasional (BSN) merupakan agensi pelaksana PKBC. Memorandum Persefahaman Kerjasama (MoU) bagi program ini telah ditandatangani pada 29hb April 2011 antara Kerajaan dengan BSN. Sepanjang RMKe-10 iaitu dari tahun 2011 sehingga 2015, Kerajaan telah menyalurkan peruntukan berbentuk dana pusingan berjumlah RM100 juta kepada Bank Simpanan Nasional untuk melaksanakan Skim Pinjaman Khas ini yang terdiri daripada 3 skim iaitu:

•  Skim A : Pinjaman bagi membiayai bayaran premium dan memperbaharui tempok pajakan tanah kediaman dengan jumlah pinjaman minimum sebanyak RM3,000 hingga maksimum sebanyak RM100,000;

•  Skim B : Pinjaman perniagaan kewangan dengan pinjaman minimum sebanyak RM5,000 hingga maksimum RM50,000; dan

•  Skim C : Pinjaman menaik taraf rumah dengan pinjaman minimum sebanyak RM3,000 hingga maksimum RM50,000.       

Dalam 5 tahun pelaksanaan PKBC sehingga 31hb Disember 2015, sebanyak RM173 juta telah diluluskan kepada 5,286 orang di mana 99% adalah kepada Skim B iaitu Pinjaman Perniagaan Kewangan. Kadar hutang tidak berbayar (Non Performing Loan) yang dicatatkan adalah serendah 3.24% sahaja.  Disebabkan sambutan yang amat menggalakkan dan kadar hutang tidak berbayar yang rendah, YB Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong telah membawa perkara ini untuk perhatian YAB Perdana Menteri supaya program ini diteruskan dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11) bagi memanfaatkan lebih ramai penduduk Kampung Baru khususnya mereka yang berada di dalam golongan B40 atau berpendapatan rendah. Dalam hal ini, YAB Perdana Menteri telah bersetuju untuk meneruskan program ini dengan suntikan dana baru sebanyak RM100 juta sepanjang RMKe-11. Lanjutan daripada itu, BKB, JPM telah menandatangani MoU yang baru dengan BSN pada 20hb April 2016 bagi meneruskan program ini.