Program Semarak Bahasa Di Kampung Baru

Program Penggalakkan Penggunaan Bahasa Kebangsaan mula dilaksanakan oleh Bahagian Kampung Baru sejak tahun 2011 dan bertujuan untuk memupuk minat di kalangan komuniti Kampung Baru menggunakan bahasa kebangsaan selain memberikan pendedahan kepada mereka mengenai kepentingan penguasaan bahasa kebangsaan dalam urusan harian khususnya apabila berurusan dengan agensi Kerajaan.

Selepas Bahagian Kampung Baru dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri pada tahun 2014, program ini diteruskan dengan nama program ditukar kepada Program Semarak Bahasa Kebangsaan Di Kampung Baru.

Mulai tahun 2015, BKB melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) telah bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk melaksanakan program ini. Selain aktiviti yang melibat komuniti kampung, pelajar-pelajar sekolah turut disasarkan sebagai peserta program.

Pelbagai kegiatan bahasa berbentuk permainan telah diperkenalkan oleh DBP untuk menarik minat pelajar-pelajar sekolah rendah yang berasal dari Kampung Baru untuk mempelajari bahasa. Antara pengisian program adalah pertandingan dam bahasa, pertandingan baca berita, pertandingan susun kad kata, pertandingan mewarnai lukisan, pertandingan karaoke dalam Bahasa Melayu dan sebagainya. Program ini amat mendapat sambutan daripada komuniti Kampung Baru dan diharapkan ia dapat menyemarakkan peranan bahasa kebangsaan sebagai tonggak pembinaan negara bangsa.